Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D
Perunding Motivasi
http://www.laman-map.com
Jumlah remaja nakal semakin hari semakin meningkat dan ini amat membimbangkan. Malah penglibatan remaja dalam kes-kes juvana membuktikan bahawa keadaan semakin hari bukannya semakin baik. Saban hari kita mendengar dan membaca kisah remaja ponteng kelas, merokok, melepak, lumba haram, dadah, sex bebas, mengandung anak luar nikah, gangterisme, penyebaran bahan lucah dan sebagainya. Pendek kata, sekiranya masalah sebegini tidak segera dibendung maka pastinya generasi pelapis ramai yang rosak akhlaknya dan masalah akan tambah membarah ke tahap yang sukar untuk diselesaikan.
Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Menuding jari kepada sesuatu pihak tidak menyelesaikan isu remaja nakal. Semua pihak perlu berganding bahu mengambil satu usaha yang padu bagi mengatasi atau setidak-tidaknya mengurangkan masalah yang ada. Namun begitu ibu bapalah orang pertama yang perlu bertanggungjawab sebelum pihak lain dipersalahkan. Sebab anak-anak ini membesar dalam rumah kita, bersama kita dan mengikut acuan yang kita sediakan untuk mereka. Elok acuannya, eloklah hasilnya.
Punca terhadap masalah remaja ini perlu difahami dan barulah usaha untuk menanganinya boleh dicari.
Pegangan agama yang longgar. Antara faktor utama kebejatan sosial ini ialah akibat pegangan agama remaja yang longgar. Ibu bapa sanggup berhabis-habisan untuk melihat anak-anak mendapat semua ‘A’ dalam pelajaran tetapi ambil mudah tentang perkara-perkara berkaitan agama. Kajian 12 tahun pengalaman penulis menjalankan program-program motivasi untuk remaja mendapati 80% – 90% remaja tidak cukup menunaikan solat lima waktu. Lebih mengecewakan lagi apabila hanya 15% sahaja yang menulis nama Nabi Muhammad saw sebagai model ikutan dalam senarai idola mereka.
Kemiskinan. Kemiskinan hidup boleh mendorong kepada masalah sosial. Ibu bapa perlu rajin berusaha bagi meningkatkan ekonomi keluarga agar anak-anak tidak terdorong untuk mencuri serta mengugut semata-mata kerana terdesak mahukan sesuatu yang tidak mampu dimiliki mereka. Bukanlah pula bermakna apabila berduit boleh memberi apa sahaja yang dipinta oleh anak tetapi keadaan ekonomi yang kukuh biasanya membolehkan ibu bapa memberi didikan yang lebih sempurna untuk mereka.
Pengaruh media. Ibu bapa perlu awasi bentuk maklumat yang diterima oleh remaja terutamanya bahan-bahan yang diperolehi melalui internet dan filem-filem yang ditontoni oleh mereka. Cerita berbentuk keganasan, lucah, keagamaan dan sebagainya perlu ditapis agar tidak merosakkan minda remaja yang begitu mudah menerima dan percaya dengan apa yang terhidang kepada mereka.
Remaja memberontak dan berdendam. Ada antara kes remaja nakal wujud kerana rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diberikan terhadap mereka oleh ibu bapa atau guru-guru. Mereka ada ketikanya dihukum secara melampau, dituduh secara melulu, disindir secara keterlaluan yang akhirnya membuatkan remaja memberontak dan mengambil tindakan-tindakan diluar batas fikiran semata-mata mahu mengajar ibu bapa atau guru-guru tersebut. Mereka mahu ibu bapa dan guru-guru merasa kesal dan bersalah atas layanan yang diberikan terhadap mereka selama ini tanpa mereka sedari tindakan tersebut menghancurkan diri sendiri. Sebab itulah perlunya ibu bapa dan guru-guru mendalami kemahiran keibubapaan agar apa jua bentuk hukuman atau tindakan disiplin yang dikenakan mampu membentuk sahsiah remaja dan bukan sebaliknya.
Keprihatinan ibu bapa. Memadam api itu lebih mudah sebelum ia marak. Masalah remaja nakal lebih mudah ditangani sebelum ia menular jauh. Ada ketikanya kesibukan ibu bapa membuatkan mereka gagal menghidu kenakalan remaja ini hinggalah keadaan sudah semakin parah. Ibu bapa perlu ekori perkembangan anak-anak remaja mereka. Lihat pakaian dan aksesori yang mereka pakai, kalau mahal mana datang duitnya? Kenali dengan siapa mereka berkawan dan dimana tempat pertemuan mereka? Sesekali cuba tengok apa yang ada dalam beg dan laci anak-anak kita. Tindakan sebegini membuatkan remaja sedar bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan sesuatu mengikut kehendak hati tanpa kawalan.
Masa berkualiti. Tiada sesuatu yang lebih penting bagi anak-anak selain dari masa yang ibu bapa luangkan secara berkualiti bersama mereka. Bagi mereka masa sinonim dengan kasih sayang. Semakin banyak masa yang diperuntukkan bersama dengan anak-anak semakin kuranglah masalah kenakalan anak remaja kita. Usah dipandang remeh perkara semudah ini.
Remaja mahukan pengiktirafan. Semua remaja mahukan diri mereka dihargai, pandangan mereka diterima, cakap mereka dipakai dan sebagainya. Mereka dahagakan pengiktirafan dan ibu bapa serta guru perlu peka tentang perkara ini. Cari ruang untuk libatkan remaja dalam aktiviti ko-kurikulum dan berikan mereka tanggungjawab setimpal dengan kemampuan mereka agar mereka dapat rasakan kehadiran mereka tidak dipersiakan. Meminggirkan remaja nakal akan menimbulkan masalah yang lebih besar lagi. Ibu bapa perlu berusaha memberikan sebanyak mungkin pendedahan-pendedahan baru kepada remaja bagi membolehkan mereka mengenalpasti kebolehan diri untuk disalurkan secara positif. Setiap anak-anak itu unik dan kemampuan dan kebolehan mereka berbeza. Hormati perbezaan ini dan usahakan mereka mendapat pengiktirafan melalui kelebihan yang mereka ada ini.
Pengaruh rakan. Masalah sosial juga berlaku akibat daripada pengarus rakan. Anak-anak yang rendah self-esteem biasanya akan merasa selamat apabila berkawan dengan mereka yang lebih dewasa, atau mereka yang mampu membuatkan mereka rasa selamat. Mereka tanpa disedari telah dipengaruhi dan diambil kesempatan untuk bertindak untuk melakukan pelbagai perkara seperti membeli rokok, menipu, mencuri dan sebagainya. Keseronokan berada dalam kelompok ini membuatkan mereka begitu terikat hingga sanggup melindungi antara satu sama lain.
Keruntuhan institusi keluarga. Tidak dinafikan apabila ibu bapa bermasalah maka anak-anak lebih bermasalah lagi. Remaja yang rungsing dengan masalah yang timbul kesan dari pergaduhan atau penceraian ibu bapa biasanya akan mencari jalan mudah untuk keluar dari masalah ini. Biasanya, mereka akan melakukan perkara-perkara yang merosakkan diri dan masa depan mereka sendiri.
Tuesday, March 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment